NARATHIWAT 14 Okt. – Kumpulan lelaki bersenjata disyaki pemberontak membunuh empat orang dan menyebabkan tiga lagi cedera, termasuk seorang remaja perempuan dalam beberapa kejadian tembakan di wilayah selatan Thailand.

Seorang bekas ketua daerah yang beragama Islam berumur 62 tahun ditembak mati dalam satu kejadian tembak lari ketika beliau dalam perjalanan ke masjid di Narathiwat, petang semalam.

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan di hantar ke hospital.

Dalam satu kejadian berasingan pada hari yang sama, seorang lelaki Buddha berusia 40 tahun cedera parah apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ketika beliau sedang duduk di hadapan rumahnya di Pattani.

Seorang gadis berusia 14 tahun adalah antara tiga orang yang cedera dalam serangan di Pattani.

Dalam satu lagi kejadian petang semalam, dua sukarelawan pertahanan yang beragama Islam masing-masing berumur 30 dan 31 ditembak mati ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Yala.

Lebih 4,300 orang telah terbunuh di wilayah selatan Thailand yang dihuni majoriti penduduk Islam sejak tercetus kembali pemberontakan lebih enam tahun lalu. – AFP

Dari Berita harian Malaysia