BANGKOK 17 Okt. – Satu tinjauan yang dijalankan menyatakan seramai 4,390 orang terkorban manakala seramai 7,139 lagi cedera dalam tempoh enam tahun lalu di selatan Thailand.

Tinjauan oleh The Deep South Watch daripada Prince Songkhla University di Pattani 750 kilometer di selatan Bangkok itu mendapati sebanyak 10,284 kejadian keganasan dilaporkan berlaku sejak Januari 2004.

Tinjauan tersebut turut mendapati sebanyak 60 peratus daripada 4,390 orang yang terbunuh di selatan wilayah itu terdiri daripada penduduk Islam, lapor akhbar The Nation, hari ini.

Wilayah-wilayah selatan – Narathiwat, Pattani dan Yala yang majoriti penduduknya Islam menderita akibat keganasan yang dilakukan pihak kerajaan dan pemberontak sejak 3 Januari 2004, setelah kumpulan itu bertindak menyerbu gudang senjata milik tentera dan merampas 300 jenis senjata.

Sejak itu, tindakan keras pihak tentera terhadap gerakan pemisah telah mengakibatkan berlakunya tentangan oleh penduduk tempatan dan kejadian pembunuhan berterusan dengan penganut Buddha dan Islam menjadi sasaran.

Menurut The Deep South Watch, penduduk menyenaraikan perdagangan dadah sebagai masalah paling teruk di wilayah tersebut.

Wilayah yang mempunyai seramai dua juta penduduk itu berada di bawah pemerintahan kesultanan Melayu Islam sebelum ia diambil alih oleh kerajaan Bangkok 200 tahun dahulu. – DPA

Dari Utusan Malaysia