2010/11/29

YALA: Seorang anggota polis dan dua rakan wanitanya berdepan dengan tindakan dipecat selepas didakwa terbabit dalam insiden merogol beramai-ramai seorang pegawai polis wanita.

Mangsa yang bekerja dengan pejabat polis daerah Bannang Sata, didakwa diperdaya seorang daripada pegawai polis wanita ke sebuah pub dan kemudian ke pangsapuri di mana mangsa diserang secara seksual oleh anggota polis terbabit dan beberapa lelaki lain.

Leftenan Jeneral polis Paithoon Chuchaiya, ketua bagi Pusat Operasi Polis di Wilayah Sempadan Selatan, mencadangkan Pejabat Polis Diraja Thailand memecat ketiga-tiga pegawai terbabit.

Ketua Polis Nasional, Wichean Potephosree, menggelar serangan itu sebagai perbuatan keji dan berazam mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Ketiga-tiga pegawai terbabit menyerah diri untuk disoal siasat di pusat operasi itu, kelmarin.

Suspek dikenali sebagai Siwapong Ngernniem, dari balai polis daerah Yarang, Pattani dan dua tertuduh wanita dikenali sebagai Shiwarat Sae Tong, 23, dari balai daerah Bannang Sata dan Natrata Chukao, dari pusat operasi.

Pegawai polis Tipaya Kueakul, 23, dari stesen Bannang Sata memfailkan aduan menyatakan beliau diperdaya Shiwarat ke sebuah pub di Yala pada 14 November lalu.
Beliau kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri di Siroros Road, di daerah Muang di mana mangsa diserang dan ditahan.

Selepas mangsa pengsan, beliau mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh teman lelaki dan rakan Shiwarat.

Siasatan polis turut mengaitkan Natrata dalam merancang serangan seksual terbabit. Polis sedang memburu suspek lain.

Jeneral polis Wichean berkata amat mengejutkan penguat kuasa undang-undang sendiri melanggar undang-undang.

Katanya, ia adalah jenayah seks yang dilakukan anggota polis kepada pegawai polis sendiri dan menjadikannya lebih serius dan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. – Agensi