NARATHIWAT 29 Dis. – Satu letupan kenderaan menggegarkan wilayah selatan Thailand hari ini menyebabkan tujuh orang cedera, sehari selepas kerajaan menarik balik perintah darurat di satu daerah di kawasan bergolak ini.

Menurut pihak berkuasa, bom buatan sendiri yang mempunyai kira-kira 15 kilogram bahan letupan telah dimasukkan ke dalam alat pemadam api dan kemudiannya diletupkan menggunakan telefon bimbit di hadapan pejabat jabatan lebuh raya di Narathiwat.

Tiga pegawai kerajaan dan empat penduduk kampung cedera dalam letupan yang turut merobek bumbung kenderaan itu.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Yala, suspek pemberontak meletupkan bom di tepi jalan dan cuba menyerang hendap pegawai peronda keselamatan, tetapi tiada yang cedera.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata, pergolakan terbaru itu tidak akan mengubah rancangan kerajaannya untuk menarik balik perintah darurat di sebuah daerah di wilayah itu sebagai ujian kepada wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam ini.

“Kami akan menilai dari satu kawasan ke satu kawasan dan membuat penilaian secara umum,” katanya kepada wartawan di Bangkok.

Abhisit juga melahirkan keyakinannya sambutan tahun baru di Bangkok akan berjalan secara aman. – AFP

Dari Utusan Malaysia