BANGKOK 27 Jan. – Kerajaan Thailand hari ini menafikan dakwaan pembangkang bahawa tentera akan melancarkan rampasan kuasa ekoran protes jalanan yang semakin meningkat menjelang pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban menolak dakwaan seorang ahli politik yang juga pemimpin gerakan antikerajaan daripada kumpulan ‘Baju Merah’, kononnya tentera sudah bersedia untuk campur tangan dalam politik di negara ini.

“Tidak mungkin, kerana saya bekerjasama dengan semua pemimpin angkatan bersenjata dan mereka menyokong demokrasi,” katanya kepada wartawan.

Bagaimanapun beliau mengakui sebilangan rakyat di negara ini akan menyokong campur tangan tentera, dan jika perkara itu berlaku, ia akan menandakan rampasan kuasa atau percubaan rampasan kuasa yang ke-19 di Thailand sejak 1932.

“Mungkin ada beberapa kumpulan yang menggesa supaya rampasan kuasa dilancarkan, tetapi jangan buat gesaan tersebut kerana itu bukan penyelesaiannya untuk negara kita,” kata Suthep, kurang lima tahun selepas tentera menggulingkan wira Baju Merah, Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri.

Jurucakap tentera, Kolonel Sunsern Kaewkumnerd turut menafikan wujudnya rancangan sedemikian.

“Ketua tentera sudah berkali-kali menafikan akan melancarkan rampasan kuasa dan dalam situasi sekarang, tidak ada tokoh tentera yang akan berani melancarkannya,” kata beliau yang merujuk kepada Jeneral Prayut Chan-O-Cha.

Sunsern dan Suthep mengulas tentang kenyataan ahli Parlimen Parti Puea Thai, Jatuporn Prompan yang mendakwa, beliau mendapat tahu beberapa pemimpin tertinggi tentera bertemu baru-baru ini untuk mengatur komplot rampasan kuasa.

Beliau mendakwa mereka mahu menggulingkan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva berikutan protes terbaru kumpulan ‘Baju Kuning’ yang berfahaman nasionalis dan menyokong raja, dikenali dengan nama rasminya Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD). – AFP

Dari Utusan Malaysia