BANGKOK 15 Jun – Ketua tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menggesa pengundi mempertahankan sistem pemerintahan monarki, satu tindakan yang dilihat sebagai menyokong parti pemerintah beberapa minggu menjelang pilihan raya umum diadakan.

Beliau berkata, jika pengundi membenarkan berulangnya corak pilihan raya, sama seperti sebelum ini, maka rakyat akan melihat keputusan yang sama.

”Saya mahu anda menggunakan pertimbangan yang baik untuk menjadikan negara dan monarki kita selamat selain orang baik mentadbir negara kita,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di saluran televisyen yang dikendalikan tentera.

Kenyataan itu seolah-olah dilihat menyokong parti pemerintah, Parti Demokrat yang mendapat sokongan tentera.

Prayut berkata, tentera akan kekal berkecuali dalam pilihan raya umum akan datang tetapi beliau menyatakan mereka yang menghina monarki perlu didakwa.

”Berdasarkan maklumat perisikan, berlaku kejadian berleluasa yang menghina institusi berkenaan.

”Thailand wujud hari ini kerana monarki. Raja tidak terlibat dalam perkara di luar tugasnya. Beliau telah berusaha sejak lebih 60 tahun. Beliau sepatutnya berehat dan lega melihat kestabilan yang dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.

Tentera Thai mempunyai sejarah campur tangan tentera dalam politik dengan 18 cubaan dan kejayaan rampasan kuasa sejak 1932. – AFP

Dari Utusan Malaysia