YALA 27 Jun – Pemberontakan di selatan Thailand menjadi fokus perbahasan politik menjelang pilihan raya umum pada 3 Julai ini, selepas beribu-ribu terbunuh di wilayah itu dalam keganasan yang berlaku hampir setiap hari sejak tujuh tahun lalu.

Konflik berlarutan di wilayah selatan Thai mendedahkan penduduknya yang majoriti beragama Islam kepada tembakan, letupan bom dan serangan lain yang didakwa dilakukan oleh puak pemisah yang tidak dikenali dan tidak diketahui matlamat sebenar mereka.

Pengkritik menuduh kerajaan gagal meredakan rasa tidak puas hati penduduk Islam, termasuk pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa dilakukan oleh tentera dan tanggapan bahawa identiti etnik, bahasa dan agama mereka tidak dihormati.

Walaupun parti-parti utama yang bertanding dalam pilihan raya umum pada bulan depan turut berkempen di selatan Thai, tidak ramai penduduk di wilayah ini berasa optimis pengundian itu akan membawa masa depan lebih cerah kepada mereka.

“Semua parti itu lebih kurang sama, sesetengahnya lebih baik sedikit, setengahnya lebih teruk sedikit, tetapi kesemua mereka melayan kami dengan buruk,” kata seorang lelaki Islam berusia 48 tahun yang datang untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengadakan kempen kepada pengundi.

Seorang lagi lelaki Islam, Peng, 50, berikrar dia akan mengundi ‘Tidak’, sebagai sokongan kepada kempen untuk membiarkan kertas undi kosong.

“Orang dalam kerajaan tidak pernah menunaikan janji mereka, kerana itu saya sudah bosan dengan politik,” katanya.

Kerajaan bagaimanapun mendakwa keadaan semakin bertambah baik.

“Langkah yang jelas telah diambil ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan.

“Terdapat sikap saling mempercayai yang lebih ketara antara penduduk dengan pegawai tempatan,” kata Abhisit semasa kunjungan singkat ke selatan Thai pada minggu lepas.

Beliau mengakui keganasan terus berlaku dari semasa ke semasa tetapi yakin kitaran keganasan yang berpunca daripada pihak kerajaan tidak akan berulang. – AFP

Dari Utusan Malaysia