BANGKOK: Seramai 13 orang cedera termasuk sembilan anggota tentera, seorang sami dan tiga orang wanita, dalam serangan bom di Pattani hari ini.

Jurucakap polis Pattani berkata, bom seberat 5 kilogram yang disembunyikan di dalam tong sampah di Jalan Paknam di daerah Muang, Pattani, meletup pada 7.05 pagi ketika tentera mengiringi seorang sami ke Kuil Lak Muang selepas mengutip derma.

Sembilan tentera yang cedera terdiri daripada lima orang prebet – Satit Janlao, 22, Kaokom Paipoad, 22, Narongrit TeeSakun, 22, Wittaya Sinbho, 23 dan Abhiwat Panwongsa, 22, – dan empat orang sarjan – Prasaenchai Peerong, 32, Thapakorn Pipittapan, 40, Khanchai Wichien, 53, dan Narong Sridakun, 35. Sami itu dikenali sebagai Jirawat Nilsuwarn, 21, manakala tiga wanita yang cedera ketika melalui kawasan berkenaan ialah Prom Na Rangsri, 46, Wandee Sangaun, 50, dan Rosayatee Makasem, 25.

Sebanyak 20 bangunan komersial dan sebuah kenderaan pikap turut musnah dalam insiden itu.

Lebih 4,000 rakyat terkorban sejak pejuang pemisah melancarkan kempen bersenjata untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak tujuh tahun lalu. – BERNAMA