BANGKOK 19 Sept. – Seramai 25 daripada 115 mangsa yang cedera dalam serangan bom di Sungai Golok pada Jumaat lalu masih dirawat di tiga buah hospital di wilayah selatan negara itu.

Dua mangsa pula masih berada dalam keadaan koma.

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Paijit Warachit berkata, daripada jumlah tersebut, 18 dirawat di Hospital Sungai Golok manakala empat lagi di Hospital Yala dan selebihnya di Hospital Prince Songkhla University di Hatyai.

”Seramai 18 yang dirawat di Hospital Sungai Golok dilaporkan stabil tetapi masih berada dalam keadaan trauma. Keadaan mereka dipantau oleh pakar psikiatri.

”Di Hospital Yala pula, empat yang dirawat kesemuanya lelaki termasuk seorang rakyat Malaysia yang patah di bahagian tangan kanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi Menteri Kesihatan Thailand, Witthaya Buranasiri melawat Hospital Sungai Golok hari ini.

Warachit berkata, tiga yang dirawat di Hatyai masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya koma.

Sementara itu, Buranasiri berkata, serangan Jumaat lalu merupakan rekod terburuk yang berlaku di Sungai Golok sejak pemberontakan meletus semula di selatan Thailand pada 2004.

Sejak 2004, sebanyak 36 kejadian serangan pemberontak berlaku Sungai Golok.

Dalam serangan Jumaat lalu, lima terbunuh dan empat daripadanya merupakan rakyat Malaysia manakala 115 lagi cedera. – Agensi

Dari Utusan Malaysia