BANGKOK 18 Sept. – Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam mengarahkan Timbalan Ketua Polis, Jeneral Adul Saengsingkaew menyelia usaha menangani keganasan di selatan Thai, sementara pihak berkuasa menghantar dua pasukan memburu dalang tiga serangan bom di Sungai Golok pada petang Jumaat lalu.

Yingluck enggan mengulas sama ada serangan itu ada kaitan dengan perubahan kerajaan baru-baru ini tetapi berkata, beliau akan membincangkan cara untuk memulihkan keamanan di tiga wilayah bergolak di selatan negara ini dengan Menteri Dalam Negeri, Yongyuth Wichaidit dan Ketua Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha.

Kata Perdana Menteri itu kepada akhbar The Nation, beliau akan meminta kerjasama negara-negara jiran dan memberi jaminan tidak akan menukar pegawai di selatan Thai kerana tidak mahu melakukan perubahan drastik.

Polis yang terus memeriksa tiga lokasi letupan bom iaitu di luar kelab karaoke 198, Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew dan di luar Hotel Merlin, mengesyaki penyerang terdiri daripada empat pasukan, satu untuk memasang setiap bom dan pasukan keempat untuk meletupkannya, dipercayai dari sebuah bilik hotel.

Polis memeriksa kamera keselamatan di sepanjang jalan untuk mengenal pasti suspek yang dipercayai anggota kumpulan pemisah, Ronda Kumpulan Kecil (RKK) yang diupah oleh sindiket dadah tempatan untuk melancarkan serangan bagi membalas serbuan pihak berkuasa baru-baru ini.

Lima orang termasuk empat rakyat Malaysia terbunuh dalam letupan itu, manakala 74 lagi cedera, 40 daripadanya parah.

Menteri Pertahanan, Jeneral Yuthasak Sasiprapha dan Timbalan Ketua Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Mejar Jeneral Akkhara Thiproj sependapat bahawa serangan bom di kawasan komersial dan pelancongan di Sungai Golok itu adalah angkara puak pemisah yang bersubahat dengan sindiket dadah.

Menurut mereka, tujuan serangan adalah untuk mendapatkan wang, mencabar kuasa dan memburukkan kerajaan serta menakut-nakutkan penduduk.

Kata Akkhara, dua pasukan ditugaskan untuk memburu penyerang manakala kawalan keselamatan di sempadan Thai-Malaysia diperketatkan sementara polis imigresen diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghalang mereka yang bertanggungjawab daripada meninggalkan negara ini. – AGENSI

Dari Utusan Malaysia