PATTANI 30 Jan. – Pasukan separa tentera Thailand malam tadi menembak mati empat lelaki Islam termasuk seorang warga emas dan seorang remaja di selatan negara ini kerana menyangka mereka diserang.

Mangsa dalam perjalanan pulang dengan menaiki sebuah trak pikap setelah menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga, kata pemandu kenderaan itu kepada polis di wilayah Pattani.

“Renjer tentera melihat sebuah trak pikap dan menahannya, kemudian mendengar bunyi tembakan dan menyangka mereka diserang, lantas membedil trak itu dengan tembakan senjata api, menyebabkan empat lelaki terbunuh dan lima lagi cedera,” menurut laporan polis hari ini mengenai insiden itu.

Antara yang maut termasuk seorang lelaki berusia 70 tahun dan seorang remaja berumur 18 tahun, manakala seorang lelaki berumur 76 tahun dan tiga remaja berusia 14, 15 dan 19 tahun adalah antara lima mangsa yang cedera.

Dua senjata api ditemui di dalam trak, tetapi laporan polis tidak menyebut sama ada tembakan telah dilepaskan dengan senjata itu.

Pemandu trak memberitahu polis senjata tersebut bukan milik sesiapa di dalam trak itu.

“Kami perlu menyiasat insiden ini dengan terperinci dan saya akan menyoal anggota renjer terbabit dan mangsa yang selamat untuk memastikan keadilan bagi kedua-dua pihak,” kata ketua polis daerah Nongjik, Kolonel Chonnawee Chamareuk.

Tiga wilayah paling selatan di Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat dilanda pergolakan berpunca daripada pemberontakan yang tidak mempunyai matlamat yang jelas.

Ramai askar kerajaan ditempatkan di wilayah itu, dengan bantuan pasukan separa tentera yang bersenjata.

Menurut angka terbaru Deep South Watch, badan yang memantau konflik di selatan Thai, hampir 5,000 orang termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha terbunuh dan 8,300 lagi cedera sejak kekacauan bermula pada 2004. – AFP

Dari Utusan Malaysia