BANGKOK: Askar Thailand semalam mengakui lima penduduk Muslim yang disyaki pemisah dan ditembak mati renjer tentera tiada kaitan langsung dengan pemberontak wilayah selatan negara itu.

Panglima tentera darat, Prayuth Chan-ocha meminta maaf kepada keluarga mangsa yang dibunuh di Pattani malam Ahad lalu dan memberi alasan renjer terbabit menghadapi tekanan untuk bertindak balas selepas pemisah melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ketika menyerang sebuah markas tentera berdekatan.

Pembunuhan terbaru mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan penduduk Muslim di selatan.

Kebanyakan mereka membenci peri laku dan kehadiran ramai anggota tentera di situ, dianggarkan 40,000 di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Sejak ditempatkan di wilayah itu pada awal 2004 untuk melawan pergerakan pemisah yang masih belum dipastikan kekuatannya, anggota tentera Thailand dituduh banyak melakukan kesalahan termasuk mendera, menahan tanpa bukti, merogol dan membunuh.

Penduduk tempatan marah dengan ketidakadilan terhadap orang Islam manakala pihak berkuasa keberatan untuk menghukum anggota polis, askar dan pengawal bersenjata yang melakukan pembunuhan sesuka hati.

Seorang jurucakap tentera berkata, empat lelaki yang menjadi mangsa bunuh terbaru berada di belakang trak pikap apabila selaras raifal ditemui dan terbunuh apabila askar membalas tembakan ke arah lelaki bersenjata yang menembak mereka ketika memeriksa kenderaan itu.
Tembakan balas renjer tentera menyebabkan kematian mereka, manakala tiga orang lagi cedera dan penyerang bersenjata lari dari situ menggunakan motosikal.

Timbalan Perdana Menteri, Yuthasak Sasiprapha, bekas jeneral tentera, berkata siasatan lanjut perlu dibuat bagi memastikan sama ada renjer benar-benar bersalah.

“Jika pegawai kami memang bersalah, mereka perlu hadapi dakwaan ini dan meminta maaf,” katanya sambil menyatakan pampasan dan keadilan akan diberi kepada keluarga mangsa. – Reuters/AFP