YALA 31 Mac – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam siri serangan bom di selatan Thailand, hari ini.

Tiga letupan bom selang beberapa minit menggegarkan pusat bandar Yala sekitar tengah hari ini, ketika orang ramai keluar untuk makan dan membeli-belah.

“10 orang disahkan maut, lebih 100 lagi cedera dalam letupan-letupan bom di Yala,” kata jurucakap bagi tentera wilayah selatan, Kolonel Pramote Promin.

Ketiga-tiga letupan berlaku dalam lingkungan 100 meter, yang pertama dan kedua berpunca daripada bom motosikal manakala bom ketiga yang terkuat disembunyikan di dalam kereta, katanya.

Gabenor wilayah Yala, Dethrat Simsiri memberitahu televisyen Thailand, bom-bom tersebut dipercayai diledakkan dengan isyarat telefon mudah alih dan kebanyakan mangsa cedera dalam letupan bom kereta.

Dari utusan Malaysia