01/04/2012 8:33pm

 

NANNING 1 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyelesaian politik yang berterusan adalah penting bagi mengakhiri insiden letupan bom yang sering berlaku di wilayah selatan Thailand.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus membantu negara jiranya itu ke arah mencapai penyelesaian politik demi kesejahteraan awam.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Nanning pada akhir lawatan kerja sehari di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Beliau mengulas kejadian letupan bom di bandar Hatyai semalam yang menyebabkan 10 orang maut termasuk seorang rakyat Malaysia dan lebih 300 yang lain cedera termasuk 10 rakyat Malaysia.

Mengenai rakyat Malaysia yang berkunjung ke selatan Thailand, Perdana Menteri berkata, beliau sedih kejadian seperti itu berlaku tetapi adalah sukar bagi menghalang mereka daripada terus berkunjung ke sana.

“Walaupun kita menasihatkan rakyat supaya tidak ke sana tetapi ada juga mereka yang mempunyai urusan masing-masing. Jadi kita tidak dapat elak risiko,” katanya. – BERNAMA