Oleh MUHAMMAD ZULKIFLI SAINUDDIN

Pekerja menyelamat memadamkan sisa-sisa kebakaran akibat letupan bom kereta di Yala, selatan Thailand, kelmarin. – REUTERS

 

KETEGANGAN di selatan Thailand kembali memuncak sejak kebelakangan ini apabila serangan berdarah dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

Setakat ini, lebih 5,000 orang dilaporkan terbunuh akibat keganasan di tiga wilayah di selatan negara itu iaitu di Narathiwat, Pattani dan Yala sejak ia mula tercetus pada Januari 2004.

Namun, serangan yang menggegarkan wilayah Yala dan Songkhla, kelmarin yang mengorbankan 14 orang termasuk seorang rakyat Malaysia dan mencederakan lebih 500 yang lain disifatkan yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut, walaupun pihak keselamatan Thailand sering ‘menuding jari’ kepada puak pemisah selatan Thailand.

Apa yang membimbangkan, insiden serangan sejak kebelakangan ini sering menjadikan kawasan komersial sebagai sasaran mereka dan serangan pula berskala besar.

Ini terbukti dalam insiden kelmarin apabila kompleks membeli-belah dan Hotel Lee Garden Plaza di Hatyai, wilayah Songkhla menjadi sasaran serangan, sekali gus bertujuan membunuh jumlah yang ramai.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Priewpan Damaphong turut mengesahkan kumpulan yang melancarkan serangan itu menjadikan kawasan tumpuan pelancong sebagai sasaran mereka dan cuba mencetuskan huru-hara.

Sebelum ini puak pemisah hanya melancarkan serangan berskala kecil dengan menjadikan beberapa orang awam, anggota tentera dan mereka yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sebagai sasaran.

Namun, kejadian kelmarin, menimbulkan persoalan apakah benar-benar ia dilakukan oleh puak pemisah kerana serangan tersebut berskala besar dan melibatkan angka korban yang besar termasukramai yang cedera.

Serangan berskala besar ini pasti memerlukan kepakaran, perancangan yang rapi untuk melakukannya, selain peralatan yang canggih serta pengetahuan yang tinggi, sesuatu yang sebelum ini tidak dimiliki oleh puak pemisah selatan Thailand yang hanya melakukan serangan menggunakan bom tangan atau bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan.

Serangan di Hotel Lee Garden Plaza di Hatyai, kelmarin sebagai contoh telah dirancang begitu baik sehingga menyebabkan polis Thailand pada awalnya keliru dan menyangka ia adalah kejadian kebakaran akibat kebocoran gas.

Namun, pemeriksaan di tempat letak kenderaan di bawah bangunan hotel itu telah menemui sebuah kereta sedan yang rosak dan dipercayai digunakan untuk meletupkan hotel tersebut.

Kereta sedan yang dimuatkan dengan bahan letupan itu telah diletakkan berhampiran saluran paip gas supaya kesan letupannya lebih kuat dan besar selain bertujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Ini jelas menunjukkan serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan yang memiliki kepakaran.

Jika benar pula, serangan itu dilakukan oleh puak pemisah, ini bermakna pergerakan itu kini mampu melakukan serangan yang lebih dahsyat selepas ini.

Ia juga sekali gus memberi gambaran, penduduk di selatan Thailand bukan sahaja sudah bosan dengan kerajaan yang gagal memberi perhatian kepada kebajikan mereka tetapi juga marah dengan tindakan pihak tentera yang sering menahan orang awam yang disyaki menjadi suspek pemberontak.

Kerajaan Thailand perlu meneliti insiden serangan itu bukan sahaja daripada sudut keselamatan semata-mata tetapi juga mengambil kira pemasalahan dan kebajikan penduduk di wilayah tersebut.

Dari Utusan Malaysia