NARATHIWAT 22 Julai – Sekurang-kurangnya dua tentera Thailand cedera parah dalam satu serangan bom tepi jalan di sini, awal pagi semalam.

Pegawai bertugas, Leftenan Nattaya Supanpong berkata, letupan tersebut berlaku ketika enam askar daripada unit keselamatan meronda menggunakan tiga buah motosikal di sebatang jalan di Ban Chood Daeng dekat daerah Muang kira-kira pukul 9 pagi.

Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 23 tahun iaitu Prebet Arisman Wayeng dan Prebet Sangworawut Ngamprom dibawa ke hospital Narathiwat Ratchanakarin untuk menerima rawatan lanjut.

Polis menuduh kumpulan pemisah bertanggungjawab dalam serangan tersebut. – AGENSI