Bangkok:

Kerajaan Thailand mengarahkan gabenor di tiga wilayah bergolak di selatan negara itu memastikan keselamatan berada paras maksimum di tengah kebimbangan serangan dilancarkan sebelum berakhirnya Ramadan esok.

Ketika bulan puasa semakin menghampiri penghujung, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Yutthasak Sasiprapa, kelmarin berkata, Gabenor Narathiwat, Pattani dan Yala diarahkan meningkatkan pengawasan kerana pemisah mungkin mengambil peluang melancarkan serangan.

Yutthasak, yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, juga menepis khabar angin kerajaan mengadakan rundingan dengan kumpulan pemisah di selatan.

Dia berkata, komunikasi diadakan antara Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan sebahagian kumpulan pemisah tertentu sebelum ini adalah rundingan damai, bukan satu bentuk perbincangan.

Rundingan tidak formal antara SBPAC dan pemimpin pemisah diadakan dari semasa ke semasa dan hasil rundingan itu dilaporkan kepada pegawai keselamatan, katanya.

Sementara itu, di selatan, dua daerah di Pattani digegarkan dengan keganasan sejak dua hari lalu.

Letupan musnah kenderaan, bangunan
Bom kereta meletup kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan petang kelmarin di tempat letak kenderaan pejabat perbandaran daerah Panare, merosakkan 11 kereta termasuk tiga yang rentung. Bangunan pejabat juga rosak akibat letupan itu tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Polis berkata, sebuah trak pikap yang digunakan dalam bom kereta itu dicuri di Yala baru-baru ini dan pemiliknya dibunuh.

Tiga kejadian keganasan dilaporkan antara tengah hari Rabu lalu dan awal kelmarin.

Sebutir bom yang tidak meletup disumbat dalam tin ditemui di tepi bangunan di kampung di daerah Khok Pho jam 5.00 petang waktu tempatan Rabu lalu. – Agensi

Dari berita harian Malaysia