PATTANI 31 Ogos – Puak pemisah hari ini dipercayai membakar bendera Thailand dan kemudian mengibarkan bendera Malaysia di kawasan yang diserang secara terancang di selatan negara ini, kata pegawai.

Polis berkata, bendera Malaysia dikibarkan di beberapa jalan utama dan tiang-tiang elektrik, pokok dan jambatan pejalan kaki di Yala, Pattani dan Naratihwat serta Songkhla.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri, pihak berkuasa menemui beberapa barang mencurigakan termasuk kotak dibalut dengan pita pelekat berwarna hitam dan bekas gas kosong di 102 kawasan di sekitar empat daerah di selatan Thailand tersebut.

”Beberapa barangan tersebut merupakan bom yang meletup dan mencederakan enam askar di Narathiwat manakala kebanyakan objek tersebut kelihatan seperti bom palsu dan tidak mengancam nyawa,” kata agensi itu.

Serangan bom buatan sendiri dan menembak anggota pasukan keselamatan dan orang awam merupakan taktik puak pemisah tetapi pembakaran bendera jarang berlaku.

Jurucakap agensi keselamatan wilayah, Kolonel Pramote Prom-in berkata, puak pemisah cuba merosakkan hubungan antara Thailand dan Malaysia.

”Bagaimanapun, tindakan itu tidak akan memberi sebarang kesan kerana hubungan Thailand dan Malaysia sentiasa baik sepanjang masa,” katanya.

Seorang pengkaji Human Right Watch, Sunai Phasuk berkata, kali terakhir bendera Malaysia dikibarkan adalah pada 2009 ketika lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ke selatan Thailand.

Beliau berkata, ia adalah satu misteri mengapa puak pemisah mahu mengibarkan bendera Malaysia.

”Operasi ini bersifat simbolik. Walaupun ia kecil namun menunjukkan operasi mereka meluas,” katanya. – AP

dari utusan Malaysia