Oleh MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN

SELEPAS hampir lapan tahun berlalu, tragedi berdarah Tak Bai pada 25 Oktober 2004 tidak pernah dilupakan oleh penduduk Islam, terutamanya di wilayah selatan Thailand yang telah menyaksikan kekejaman pihak keselamatan negara ini menangani bantahan penduduk Islam di wilayah itu sehingga menyebabkan 85 penduduk terkorban semasa dalam tahanan tentera.

Ia bermula dengan tindakan kira-kira 1,500 penduduk Islam mengadakan demonstrasi di hadapan Balai Polis Tak Bai yang berakhir dengan tindakan tentera menahan berpuluh-puluh penduduk yang terbabit.

Penduduk mengadakan demonstrasi itu bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki membuat laporan palsu kepada polis membabitkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Banyak pihak menyalahkan bekas Perdana Menteri yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra kerana gagal menangani isu tersebut dengan baik, sebaliknya menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan berpuluh-puluh penduduk yang ditahan terbunuh semasa mereka dalam perjalanan ke pangkalan tentera.

Lebih menyedihkan, sejurus selepas kejadian berdarah itu, Thaksin mempertahankan tindakan polis dan tentera menyuraikan tunjuk perasaan itu.

Kerajaan pimpinan Thaksin ketika itu dikritik teruk oleh ramai pihak terutama pertubuhan hak asasi manusia yang mempersoal campur tangan tentera untuk menyuraikan satu tunjuk perasaan yang diadakan secara aman.

Namun bagi meredakan kemarahan, kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri yang dilantik oleh majlis tentera selepas Thaksin digulingkan melalui rampasan kuasa, Surayud Chulanont membayar pampasan berjumlah 42 juta baht (RM4.2 juta) kepada anggota keluarga mangsa Tak Bai.

Chulanont turut menggugurkan pertuduhan terhadap 56 orang yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu dan memohon maaf atas tragedi itu.

Selepas itu, kerajaan Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva telah menjalankan pelbagai program pembangunan sosio-ekonomi yang turut melibatkan tunjuk ajar pihak tentera kepada penduduk tempatan sebagai usaha mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Namun pada 2009, luka penduduk Islam Tak Bai kembali berdarah apabila mahkamah Thailand memutuskan pihak tentera yang terlibat dalam tragedi hitam itu didapati tidak bersalah, menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati, lebih-lebih lagi ahli keluarga mangsa yang mahukan pihak yang bertanggungjawab dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Kini, sudah hampir lapan tahun tragedi itu berlalu, namun penduduk Islam di selatan negara itu tidak pernah melupakan tragedi itu dengan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai untuk menuntut keadilan bagi pihak keluarga mangsa tragedi itu.

Pihak militan pula ‘menyambut tarikh’ tragedi itu dengan melancarkan serangan ke atas logistik dan kemudahan pasukan keselamatan.

Itulah senario yang kerap berlaku sejak lapan tahun lalu, kerana penduduk Islam di wilayah itu merasakan pihak berkuasa Thailand tidak melaksanakan keadilan terutama bagi membela mangsa-mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu.

Kerajaan baru Thailand di bawah pimpinan adik perempuan Thaksin, Yingluck Shinawatra, perlu meneliti semula kes tersebut bukan sahaja bagi menjamin keadilan kepada mangsa yang terbunuh tetapi juga memastikan keselamatan di wilayah itu terus terjamin.

Malah, Yingluck yang dilihat lebih mesra dengan penduduk Islam berpeluang membersihkan nama abangnya Thaksin yang gagal menangani insiden itu dengan baik dan mengembalikan kepercayaan penduduk Islam di Tak Bai terhadap kerajaan.

Semuanya kini bergantung kepada Yingluck untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian penduduk semasa tragedi Tak Bai dijatuhi hukuman setimpal, sekali gus memadamkan memori hitam penduduk Islam terhadap peristiwa 25 Oktober itu dan menghentikan keganasan di wilayah itu.