Seorang wanita Islam (tengah) meratapi kematian anak lelakinya yang ditembak mati oleh tentera Thailand di wilayah Narathiwat pada 25 Oktober lalu kerana disyaki menjadi anggota pemisah. – AFP

BANGKOK 29 Okt. – Lebih 100 anggota pemisah di wilayah selatan Thailand dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa sejak bulan lalu, namun tahap keganasan di wilayah berkenaan masih belum reda ekoran dua kejadian serangan terbaru, kelmarin.

Di Pattani, sekurang-kurangnya 16 orang cedera dalam serangan grenad di sebuah restoran di daerah Sai Buri pada malam kelmarin, sementara seorang bekas sukarelawan ditemui mati di Yala, pagi semalam.

Kejadian terbaru itu berlaku ketika sekumpulan suspek anggota pemisah menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Wakil jawatankuasa yang terlibat dalam usaha menghentikan keganasan di selatan Thailand, Mejar Jeneral Charin Amornkaew berkata, seramai 111 anggota pemisah telah menyerah diri sejak 11 September lalu.

Katanya, jumlah itu termasuk 18 anggota pemisah menyerah diri kelmarin selepas menyahut seruan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Komander Unit Tentera Wilayah Keempat, Leftenan Jeneral Udomchai Thammasarorach untuk memberi peluang kepada anggota pemisah memulakan kehidupan baru.

Dalam insiden penemuan satu mayat di Yala, pihak polis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Muso, 30, telah ditembak sebanyak tiga kali di kepala dan badan.

Mayatnya ditemui bersebelahan sebuah motosikal di sebuah ladang getah berdekatan Ban Kube di Talo Halo.

Polis percaya Mohamad ditembak pada malam kelmarin selepas penduduk tempat memaklumkan terdengar bunyi tembakan pistol.

Sementara itu, Ketua Polis Sai Buri, Kolonel Abdul-aziz Umayi berkata, serangan bom tangan di Pattani pula berlaku ketika waktu sibuk di sebuah restoran.

Katanya, seorang penyerang menaiki motosikal melontarkan bom tangan ke dalam restoran berkenaan pada kira-kira pukul 9.45 malam dan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun merupakan antara mereka yang cedera. – AGENSI

Untok dimaklumkan bahawa kejadian yang melontarkan bom tidak ada kaitan dengan pejuang kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan dasar perjuangan dan orang ramaipun faham bahawa mereka yang melakukan adalah orang Siam dan ada kaitan dengan kerajaan Thai.
Bagi penyerahan yangberlakupun orang ramai mengtahwi bahawa ramai diantara mereka tidak ada kaitan dengan perjuangan.