NARATHIWAT 4 Nov. – Sekurang-kurangnya empat maut, manakala sembilan lagi cedera dalam beberapa siri serangan di selatan Thailand, semalam, sehari selepas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra membuat keputusan untuk mengambil alih operasi keselamatan di wilayah bergolak itu.

Dalam serangan pertama yang berlaku di daerah Rueso, di sini, sekurang-kurangnya lapan mangsa cedera berikutan letupan bom motosikal yang menggegarkan sekolah Ban Yaba Uppakara Witthaya, malam tadi.

Selepas serangan itu berlaku, satu lagi letupan melibatkan sebuah kereta berlaku di hadapan sebuah kediaman berdekatan balai polis Rueso, menyebabkan tiga terbunuh dan merosakkan 10 buah kediaman berhampiran.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Abdullormae Jeloh, Sa-ngiam Muen-kota dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Sasithorn Suleng.

Di Pattani, sebuah pusat kawalan sukarela di daerah Saiburi turut diserang, bagaimanapun tidak dipastikan sama ada berlaku kerosakan mahu pun kecederaan dalam serangan tersebut.

Sementara itu, di Songkhla, seorang anggota pemisah terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera di daerah Sabayoi, awal pagi ini.

Pertempuran itu berlaku apabila polis mengepung sebuah kediaman di Kampung Chumpho, selepas mendapat maklumat mengenai beberapa anggota pemisah yang bersembunyi di situ.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru sekolah cedera akibat ditembak dua penyerang bermotosikal ketika menunggu sebuah bas di daerah Yarang, Pattani, pukul 1 tengah hari ini.

Chula Woma, 33, guru sekolah Ban Kaen Thao ditembak sebanyak empat kali di bahagian kaki dan lengan dan kini dirawat di hospital.

Beberapa siri serangan itu memberi tamparan kepada kepemimpinan Yingluck, yang mengumumkan untuk mengambil alih hal berkaitan keselamatan yang sebelum ini dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri, Yutthasak Sasiprapha, kelmarin.

Walau bagaimanapun, pemimpin Islam dan anggota pembangkang melahirkan rasa tidak yakin dengan keputusan tersebut memandangkan Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu tidak mempunyai pengalaman berkaitan isu keselamatan, tambahan lagi melibatkan isu pergolakan di wilayah selatan. – AGENSI