Bapa kepada bayi bernama Efahni Samoh, mendukung jenazah anaknya yang maut dalam serangan di sebuah warung di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, semalam. – AFP

BANGKOK 11 Dis. – Tujuh orang termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun dan dua orang guru, ditembak mati dalam dua serangan berasingan di sebuah warung dan sekolah di wilayah bergolak di selatan negara ini hari ini.

Serangan pertama berlaku di sebuah warung di Narathiwat apabila sekumpulan lelaki bersenjata secara tiba-tiba melepaskan tembakan ketika penduduk kampung sedang bersarapan, membunuh lima mangsa termasuk bayi berkenaan yang dikenali sebagai Efahni Samoh.

Tiga lagi yang maut ialah seorang wanita berusia 25 tahun dan dua lelaki berumur 37 dan 70 tahun, sementara seorang lagi tidak dapat dipastikan umurnya.

Kejadian sama turut menyebabkan empat yang lain cedera termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Yaena.

Ketua polis tempatan, Boonsak Numad memberitahu AFP, pihaknya turut menemui 62 kelongsong peluru di lokasi kejadian.

“Kami percaya, serangan dilakukan sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata,” katanya.

Sementara itu, dalam serangan kedua, dua individu ditembak mati ketika sedang menikmati makan tengah hari di kantin Sekolah Bangngo di Mayor, Pattani, kira-kira 765 kilometer di selatan Bangkok.

Mereka yang maut dalam kejadian pukul 5 petang waktu tempatan itu dikenali sebagai guru besar wanita, Piyarat Chuangkeow dan guru, Somsak Kwanma.

Pegawai tentera wilayah, Komander Leftenan Jeneral Udomchai Thamasaroraj berkata, kejadian tersebut turut disaksikan pelajar sekolah.

Sekolah itu merupakan sebuah daripada 322 sekolah yang dibuka semula hari ini selepas guru melancarkan mogok minggu lalu bagi membantah kegagalan pihak berkuasa melindungi mereka daripada kumpulan pemisah yang telah membunuh kira-kira 157 guru di Narathiwat, Pattani dan Yala sejak konflik tercetus lapan tahun lalu.

Menurut polis, kumpulan lelaki bersenjata terdiri daripada enam individu itu turut mencuri sebuah kenderaan milik sekolah semasa melarikan diri. – AFP/dpa