Pasukan pemusnah bom Thailand memeriksa motosikal yang dipasang dengan bom oleh kumpulan pemisah di hadapan sebuah kedai serbaneka di Narathiwat menyebabkan tiga orang cedera, semalam. – AFP

BANGKOK 24 Feb. – Kumpulan pemisah Thailand melancarkan 29 serangan, termasuk tiga serangan bom dan melepaskan tembakan rambang ke arah bas dan kenderaan awam di wilayah selatan Thailand, semalam dan awal hari ini.

Dalam serangan semalam, tiga orang cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun apabila dua butir bom diletupkan di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Narathiwat.

Mereka yang cedera merupakan seorang sukarelawan kampung, Muhammadsorbri Marong, 34, seorang renjer tentera, Thanuthan Mareh, 27, dan kanak-kanak lelaki, Afhal Jehnae.

Polis berkata, pemberontak meletupkan bom pertama yang diletakkan dalam sebuah tong sampah di hadapan kedai berkenaan di Tanyongmas, daerah Rangae, pada kira-kira pukul 4.20 petang.

Beberapa minit kemudian, bom kedua yang dipasang pada sebuah motosikal diletupkan, menyebabkan tiga orang yang berada di lokasi serangan mengalami kecederaan.

Siasatan polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian mendapati, dua remaja menaiki sebuah motosikal telah memasang bom tersebut di kedai itu yang terletak berdekatan sebuah pangkalan tentera.

Sebuah lagi bom yang disembunyikan dalam tong sampah turut diletupkan di Anohru di daerah Muang, Pattani, namun tiada mangsa yang cedera dalam letupan itu.

Kumpulan pemberontak turut membakar tayar, motosikal dan tiang telefon di Sai Buri, Nong Chik, Mayo dan daerah Muang di Pattani, menyebabkan isyarat telefon bimbit dan telefon rumah terganggu ekoran serangan berkenaan.

Dalam kejadian berasingan, dua orang mengalami luka parah selepas ditembak penyerang tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal di Donrak, Pattani.

Mangsa dikenali sebagai Ratcharoen, 52, dan Supannee Watkaew, 41, dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Pattani.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan, Leftenan Jeneral Paradorn Pattanathabutr berkata, serangan terbabit dipercayai sebagai tindakan balas kumpulan pemisah terhadap kematian 16 anggota pemberontak yang dibunuh tentera laut Thailand pada 13 Februari lalu.

Katanya, langkah keselamatan yang ketat dikuatkuasakan di kawasan membeli-belah di Hat Yai, Songkhla selepas laporan perisikan memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya serangan di kawasan tersebut. – AGENSI