Yingluck Shinawatra Yingluck Shinawatra

Main peranan sebagai penyelaras usaha damai di selatan Thailand

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, akan berucap mengenai kemungkinan Malaysia menjadi penyelaras proses damai di selatan Thailand apabila melawat negara jirannya, Khamis depan.

Sejauh mana Malaysia memegang peranannya masih dirundingkan. Pegawai Thailand belum setuju sama ada Kuala Lumpur (KL) patut membantu sebagai penyelaras atau menjadi orang tengah.

Antara kumpulan pemisah yang dikenali ialah Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (Pulo) dan Barisan Revolusi Nasional-Koordinat (BRN-C).

Bagaimanapun, Kementerian Luar Thai mendesak supaya peranan Malaysia diminimumkan, kata sumber Thai kepada akhbar The Nation, semalam.

Pengatur rundingan

Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC) adalah pengatur rundingan. Pihak tentera turut membentuk pasukan perundingnya sendiri.

Berdasarkan sejarah, kata akhbar itu, pihak tentera biasanya memegang peranan utama dalam rundingan dengan pemisah yang berlangsung di Asia Barat pada 1980-an.
Tetapi, sejak 2006, bermula dengan pentadbiran pimpinan Surayud Chulanont, agensi awam iaitu NSC, sudah terbabit.

Selain meminta Malaysia lebih aktif, cadangan untuk menggerakkan rundingan rasmi bertujuan menunjukkan kerajaan Yingluck benar-benar serius untuk mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Merumitkan lagi inisiatif Bangkok untuk melancarkan proses damai ialah ketiadaan pemimpin keselamatan bagi mengubah konflik di rantau itu, kata pakar keselamatan dari Universiti Chulalongkorn dan bekas penasihat kerajaan pimpinan Abhisit Vejjajiva, Profesor Panitan Wattanayagon.

Penasihat kerajaan

Penasihat kerajaan itu mestilah memiliki kuasa tertentu untuk menjadi orang tengah antara kerajaan dan tentera, lapor The Nation.

Apapun, Thailand tidak pernah selesa dengan perunding asing untuk menyelesaikan isu selatannya. – AGENSI

Dari bharian