BANGKOK 18 Mac – Sebuah kumpulan pemisah yang tidak bersetuju dengan rundingan damai di Selatan Thailand dipercayai akan melancarkan serangan ganas secara terancang untuk menghalang pelan rundingan damai antara kumpulan pemisah dan kerajaan Thailand.

Satu sumber berkata, kumpulan yang dikenali sebagai ‘Pejuang Fatoni’ mengadakan pertemuan di lokasi rahsia di sempadan Thailand-Malaysia dan mengarahkan beratus-ratus pemberontak daripada sayap kumpulan tersebut, Permudo untuk melancarkan serangan.

Sumber tersebut berkata, Permudo dijangka mula melancarkan serangan pada hari ini ketika Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersiap sedia mengadakan rundingan damai dalam tempoh dua minggu.

Serangan terancang itu dipercayai sebagai mesej terdapat kumpulan pemisah yang tidak bersetuju rundingan damai diadakan antara BRN dan kerajaan.

Delegasi NSC dan BRN dijangka mengadakan pertemuan di Malaysia pada 28 Mac ini untuk memulakan proses rundingan damai, sebulan selepas kedua-dua pihak menandatangani persetujuan pada 28 Februari lalu.

Di Songkhla, tahap keselamatan dipertingkatkan di sepanjang jalan utama yang menghubungkan wilayah itu dengan tiga lain menjelang rundingan damai.

Kesemua kenderaan yang memasuki Songkhla menerusi laluan Jalan Na Thap-Chana akan diperiksa dengan teliti oleh polis pengawal sempadan.

Pusat pemeriksaan yang beroperasi selama 24 jam turut didirikan di Ban Tao-it di daerah Hat Yai.

Komander pasukan polis bertugas, Pol Sub Lt Wattana Thaptawee berkata, peningkatan tahap keselamatan tersebut bukan sekadar memantau sebarang aktiviti militan, tetapi juga menjejaki penyeludupan dadah, barangan pasaran gelap dan imigran.

Laluan berkenaan menjadi laluan utama penyeludup selepas sebuah pusat pemeriksaan didirikan di Lebuh Raya Asia di Ban Khuan Meed di daerah Chana yang sebelum ini menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan. – AGENSI