BANGKOK 25 Mac – Pergolakan di tiga wilayah di selatan Thailand akibat pemberontakan kumpulan pemisah sejak 2004, telah mengorbankan kira-kira 5,300 orang.

Keganasan yang berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala itu bermula pada Januari 2004 apabila kumpulan pemisah menyerang sebuah depot senjata milik tentera dan merampas 400 raifal, sekali gus mencetuskan gerakan pemburuan oleh pasukan keselamatan.

Pasukan tentera kemudiannya bertindak menyerang suspek militan di Masjid Krue Sae, Pattani pada 28 April 2004 dan membunuh lebih 30 orang yang disyaki anggota pemisah.

Keganasan itu membangkitkan penentangan terhadap kerajaan Buddha Thailand yang telah menakluk wilayah Kesultanan Pattani itu sejak lebih 200 tahun oleh majoriti penduduk Islam di tiga wilayah tersebut.

Namun, selepas sembilan tahun pergolakan berlaku, kerajaan Thai akhirnya akan mengadakan rundingan damai dengan puak pemisah di selatan Thailand pada Khamis ini, meskipun siapa yang akan terlibat dan sama ada ia adalah wakil puak pemisah sebenar masih tidak dapat dipastikan.

Persetujuan membuat rundingan itu dicapai di Malaysia pada 28 Februari lalu selepas enam tahun perbincangan secara rahsia diadakan.

Kerajaan Thai sebelum ini menolak rundingan tahap tinggi bagi mengelak mengiktiraf pemberontak yang mahu menuntut kemerdekaan di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.

Persetujuan mengadakan rundingan itu dimuktamadkan oleh Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Paradon Pattanatabut dan Ketua Perwakilan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia, Hassan Taib. – DPA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130326/lu_06/Pergolakan-selatan-Thailand-korbankan-5300-nyawa#ixzz2OkkoeI8t
© Utusan Melayu (M) Bhd