Mayat salah seorang daripada tiga anggota renjer Thailand yang terbunuh dalam serangan bom tepi jalan dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemisah, ditemui terbaring di atas jalan raya di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, semalam. – AFP

BANGKOK 28 Mac – Suspek kumpulan pemisah membunuh tiga anggota renjer dalam satu serangan bom tepi jalan di selatan Thailand, hari ini.

Serangan itu berlaku di wilayah Narathiwat beberapa jam sebelum pegawai kerajaan Thailand memulakan rundingan damai secara rasmi dengan kumpulan pemisah daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Kuala Lumpur.

Sumber polis melaporkan, dua anggota renjer terbabit mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Lima lagi anggota tentera turut cedera akibat terkena serpihan letupan.

Dalam pada itu, rundingan dengan wakil BRN yang dijadual berlangsung sehari itu akan memberi fokus kepada pengurangan pertumpahan darah, menurut Ketua Majlis Kebangsaan Keselamatan Thailand, Paradorn Pattanatabut, sambil mengingatkan proses rundingan akan mengambil masa.

“Hari ini fokus utama ialah bagi mengurangkan keganasan. Kami akan memberi tumpuan kepada usaha membina perasaan saling percaya dan hubungan baik.

“Saya yakin mereka akan menyampaikan mesej kerajaan itu kepada anggota pemisah lain, tetapi kerana BRN adalah satu pertubuhan besar, kami akan memberikan mereka masa,” kata Paradorn kepada wartawan di Kuala Lumpur selepas rundingan itu.

Pemberontakan bersenjata di selatan Thailand sejak 2004 telah meragut lebih 5,500 nyawa dan rundingan ini menjadi dialog damai secara rasmi pertama antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah.

Semalam, Paradorn berkata, kerajaan Thailand akan menghentikan serangan ke atas penduduk awam semasa rundingan ini berlangsung, sekali gus akan menentukan sama ada BRN adalah organisasi sebenar yang mengawal kumpulan-kumpulan pemisah di wilayah itu.

“BRN adalah kumpulan pemisah terbesar dan paling berpengaruh di selatan Thailand, jadi selepas rundingan ini, BRN boleh menyebarkan mesej kerajaan itu kepada anggota mereka dan kemudiannya kita akan dapat hasil yang baik,” ujarnya.

Beliau turut berharap kumpulan militan lain di selatan Thai akan menyertai mereka dalam rundingan dengan kerajaan pada masa depan. – AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130329/lu_05/Serangan-bom-di-Thailand-3-renjer-maut#ixzz2Ovv2mOq9