Jakarta bantu Bangkok, KL

Bangkok: Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC) sudah meminta Indonesia membantu negara itu menyelesaikan konflik selatan Thai bersama Malaysia.

Setiausaha Agung NSC, Paradorn Pattanatabut berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra (gambar) yang memberi persetujuannya.

Katanya, Thailand menyasarkan usaha menamatkan keganasan mengikut tiga peringkat iaitu dengan pemimpin tempatan, negara jiran dan masyarakat Islam antarabangsa.

Bagaimanapun, Paradorn tidak dapat berkata bila persetujuan mengenainya akan dimuktamadkan.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung bagi Hak Ehwal Politik pentadbiran Abhisit Vejjajiva, Panitan Wattanayagorn, menyokong langkah itu.

Katanya, ramai pemisah menerima latihan di negara itu, jadi Indonesia mungkin mempunyai maklumat lebih baik mengenai mereka.

Langkah itu mungkin lebih baik daripada berunding dengan wakil pemisah dari luar negara.
Sambut baik idea Indonesia

Pada masa sama, beliau menggesa NSC menjemput secara serentak wakil Indonesia dan Malaysia dalam perundingan yang bakal disambung Isnin depan dengan wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Bekas Setiausaha Agung NSC, Thawil Pliensri juga menyambut baik idea Indonesia menjadi penyelaras.

Tetapi, beliau menyarankan, sebarang kerjasama dengan Indonesia sepatutnya dilakukan secara senyap dan hanya didedahkan apabila isu selatan Thai berjaya dikawal.

Oleh kerana keadaan belum terkawal, pihak yang memegang kuasa operasi mungkin kecewa dengan kemajuan rundingan, kata Thawil

Penyelaras Thailand bagi Human Rights Watch, Sunai Phasuk, usaha mendapatkan bantuan Indonesia bukan baru kerana kerajaan lalu Thai juga berbuat demikian.
Apa yang baru kali ini ialah kerajaan Thai mengumumkan langkahnya secara terbuka.

AGENSI

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JakartabantuBangkok_KL/Article/