PATTANI 28 April – Pihak berkuasa mempergiatkan kawalan keselamatan di selatan negara ini menjelang ulang tahun kesembilan tragedi pembunuhan beramai-ramai di masjid Krue Se di wilayah ini, hari ini.

Pegawai keselamatan juga bimbang kemungkinan serangan balas selepas tiga orang suspek pemberontak dibunuh oleh pihak berkuasa pada Jumaat lalu.

Pengawasan keselamatan telah dipertingkatkan di wilayah ini mulai malam Jumaat lalu dengan menjangkakan serangan akan dilakukan oleh kumpulan pemberontak sebagai memperingati ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Krue Se.

Gabungan pasukan keselamatan iaitu askar, polis dan pegawai pentadbiran tempatan serta sukarelawan telah mengadakan sekatan di jalan raya dan memantau kawasan berisiko tinggi di seluruh wilayah ini.

Satu sumber berkata, pihak keselamatan menerima maklumat risikan terdapat serangan yang dirancang membabitkan serangan ke atas dua buah pikap dan dua buah kereta yang sarat dengan bom di wilayah ini.

Terdapat juga kebimbangan berlakunya serangan balas selepas tiga pemberontak terbunuh dalam satu serbuan di tempat persembunyian mereka di hutan Bannang Sata di daerah Yala pada Jumaat lalu.

Tiga lelaki yang maut itu dikenal pasti sebagai Boonya Daleng, Budimun Mayi dan Abdul Tolae Saha.

Ketua Polis Wilayah Yala, Jeneral Peera Boonliang berkata, Boonya dipercayai salah seorang daripada 50 anggota militan bersenjata yang menyerang sebuah pangkalan tentera laut di daerah Narathiwat pada 13 Februari lalu.

Katanya, Budimun pula sedang dicari kerana didakwa membunuh penduduk kampung pada satu majlis keagamaan di daerah Bannang Sata Yala, manakala Abdul Tolae pula berdepan tuduhan membunuh dua anggota tentera di daerah yang sama. – AGENSI