BANGKOK 24 Mei – Lima anggota renjer maut dan seorang lagi cedera apabila sekumpulan lelaki disyaki puak pemisah meletupkan bom yang ditanam di tepi jalan di wilayah bergolak selatan Thailand, hari ini.

Serangan pada waktu pagi itu menunjukkan keganasan bersenjata masih belum dapat dikawal di wilayah selatan Thailand, meskipun rundingan damai sedang diusahakan di negara jiran Malaysia.

Polis berkata, pasukan renjer itu dalam perjalanan menaiki trak pikap untuk menemui pemimpin komuniti Islam di daerah Saiburi, Pattani.

“Lima renjer maut dan seorang lagi cedera. Mereka mahu mencetuskan huru-hara sempena cuti yang juga hari penting bagi penganut Buddha di negara ini hari ini,” kata seorang polis Saiburi, Sarjan Montri Prommee.

Menurut penganalisis, puak pemisah kini menggunakan bom buatan sendiri yang dipertingkatkan dan teknik letupan untuk menyebabkan lebih banyak korban.

Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas seorang lagi renjer dibunuh oleh seorang suspek pejuang pemisah di Narathiwat, semalam. – AFP