BANGKOK 28 Mei – Enam termasuk lima anggota keselamatan Thailand maut dalam beberapa serangan tembakan dan bom di wilayah bergolak di selatan negara ini sejak semalam, insiden yang disifatkan kerajaan sebagai cubaan pemberontak mengganggu proses damai.

Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Paradorn Pattanatabut berkata, serangan itu dilakukan kerana kumpulan pemberontak tidak mahu perbincangan damai diteruskan.

Dua anggota renjer separa tentera yang sedang berkawal, ditembak mati dalam satu serangan hendap pada awal pagi ini di Pattani.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang penoreh getah ditembak mati lelaki disyaki anggota pemberontak di kebunnya di Narathiwat pagi ini.

Sehari sebelum itu, seorang anggota polis sempadan maut akibat terkena letupan bom di tepi jalan, manakala dua pengawal keselamatan terbunuh dalam dua kejadian letupan berasingan di sekolah.

Pergolakan selama sembilan tahun di wilayah selatan Thailand telah meragut lebih 5,500 nyawa, selain kerajaan negara ini dituduh bersikap diskriminasi terhadap penduduk di wilayah itu yang majoritinya beragama Islam.

Pasukan keselamatan dan pihak yang mempunyai kaitan dengan kerajaan merupakan sasaran utama kumpulan pemberontak.

Thailand mengadakan rundingan damai yang pertama dengan wakil-wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia pada Mac lalu dan satu lagi perbincangan pada April lalu.

Perbincangan akan datang dijadual berlangsung pada 13 Jun ini. – AFP