Pattani: Ketua delegasi rundingan damai Barisan Revolusi Nasional(BRN) menekankan keperluan memastikan kejayaan dialog itu di selatan tetapi berkata ada kumpulan daripada kedua-dua pihak mempunyai agenda berbeza.

Perbincangan selama 38 minit dalam bahasa Malaysia antara Hassan Taib dan bekas calon Narathiwat dari Parti Aspirasi Baru, A-Sae Tohramae, disiarkan malam Selasa lalu menerusi stesen radio beribu pejabat di Pattani, Media Selatan. Program itu boleh didengari di ketiga-tiga wilayah paling selatan di Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Temubual pertama

Ia adalah temubual pertama Hassan dalam media Thailand mengenai dialog damai yang dilancarkan Februari lalu di Kuala Lumpur.

Menurut terjemahan tidak rasmi agensi perisikan Thailand, Hassan berkata pusingan akhir rundingan berjalan lancar dan rakan sejawatannya dari Thailand kelihatan lebih memahami isu itu.

Hassan berkata, kerajaan kekal memberi tumpuan kepada lima cadangan BRN dan tidak berganjak kepada isu lain.

Katanya, walaupun kerajaan terbabit dalam rundingan damai, kumpulan lain dalam masyarakat menentangnya, iaitu tentera dan pembangkang, Parti Demokrat.
“Semua sektor di Thailand menganggap dialog damai sebagai agenda negara,” katanya.

Hassan berkata, beliau akan berusaha mengurangkan jumlah kejadian ganas tetapi menegaskan tidak bermakna semua serangan akan berhenti. – AGENSI

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pastikankejayaandialogrundingandamai_Hassan/Article