BANGKOK 25 Jun – Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chalerm Yubamrung hari ini berkata, ‘adalah tidak mungkin’ kerajaan akan memenuhi tuntutan pergerakan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang mahu tentera diundurkan dari wilayah bergolak di selatan negara ini.

Chalerm berkata, kerajaan berhak untuk tidak menerima tuntutan mereka.

Beliau turut menyuarakan keraguan berhubung keupayaan BRN menghentikan keganasan di wilayah itu.

“BRN sendiri tidak dapat mengawal pengikut mereka. Saya tidak percaya keganasan akan berkurangan dan kami perlu mengambil langkah keselamatan kami sendiri,” kata Chalerm.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di YouTube, semalam oleh wakil rundingan damai BRN, Hassan Taib, BRN menuntut tentera Thailand berundur dari tiga wilayah di selatan negara ini sepanjang bulan Ramadan.

Hassan berkata, BRN bersetuju menghentikan operasi tenteranya sepanjang Ramadan ini seperti yang dijanjikan kepada pasukan rundingan Thailand pada 13 Jun lalu di Kuala Lumpur.

Namun, menurutnya, gencatan senjata itu adalah bersyarat dan mereka mahukan kerajaan Thai mengundurkan tentera dari Pattani, Yala, Narathiwat dan lima daerah di Songkhla.

Katanya, sebagai tambahan, kerajaan Thai juga perlu mengundurkan polis dan polis peronda sempadan yang ditempatkan di tiga wilayah dan lima daerah di Songkhla.

BRN turut menuntut supaya kerajaan Thai melarang penjualan arak dan menutup tempat hiburan di selatan Thailand sepanjang bulan suci itu.

Hassan turut memberi amaran rundingan damai antara BRN dan kerajaan Thai tidak akan diteruskan selagi tuntutan dan syarat mereka tidak dipenuhi. – AGENSI