Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: August 26, 2013

RANTAU PANJANG – Kejadian bom yang berlaku di Kokta Sungai Golok tidak menghalang penduduk dari kedua-dua negara menjalankan aktiviti harian.

Tinjauan mendapati, kemasukan penduduk dari Malaysia dan Thailand melalui Kompleks CIQ Rantau Panjang berjalan lancar, begitu juga di pengkalan haram sepanjang Sungai Golok.

Ia juga tidak mempengaruhi kemasukan pelancong dari Thailand untuk membeli belah.

Penduduk, Nordin Salleh, 42, berkata, buat masa ini hanya penduduk di Golok merasai kesan kejadian bom berkenaan.

“Meskipun ia berlaku di negara jiran, namun penduduk tempatan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti harian.

“Kita berharap kerajaan Thailand dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera agar ia tidak mempengaruhi tahap keselamatan dan ekonomi di jajahan ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mat Bastaman Hamat, 50, berkata, walaupun jarak antara Kokta dengan Rantau Panjang kurang lima kilometer, namun tidak semua penduduk menyedari kejadian bom berkenaan.

Mungkin katanya, kejadian kali ini agak kecil jika dibandingkan dengan kes letupan, tahun lalu.

“Pihak tentera yang mengawal sempadan turut memberi kelegaan kepada penduduk, untuk menjalankan aktiviti seperti biasa.

“Penduduk dinasihatkan tidak berkunjung ke tempat kejadian atau kawasan ‘panas’, bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/letupan-bom-jangan-pergi-ke-kawasan-panas-1.195635