Oleh:
Tarikh: September 10, 2013

YALA – THAILAND. Tiga orang anggota keselamatan terkorban dalam dua kejadian keganasan berasingan di selatan Thai hari ini.

Dalam kejadian pertama, dua tentera maut dan dua lagi cedera dalam kejadian letupan bom dalam kawasan Sekolah Khanaradsadon Bamrung 2 yang terletak di Mukim Yupo, daerah Muang Yala pada 10.05 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kol. Pol. Phacharapon Na Nakorn berkata, bom buatan sendiri berat 20 kilogram diisi dalam tong gas memasak dan ditanam di tepi pondok rehat dalam kawasan sekolah tersebut.

“Bom diletupkan dengan menggunakan alat walkie-talkie ketika lima tentera bertugas mengawal keselamatan guru sedang berehat,” katanya.

Sementara itu, di wilayah Narathiwat seorang renjer maut diserang hendap, dan seorang penolong ketua kampong cedera terkena peluru sesat.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang waktu tempatan di Kampung Jelapea, Mukim Bongo, daerah Ragaet, Narathiwat.

Ketua Polis Daerah Rangaet, Kol. Pol. Jiraded Prasawang berkata, mangsa yang maut ialah Muhammad Alis Yakub, 40, yang menaiki kereta dalam perjalanan balik ke markas renjer kompeni ke-46 selepas menghantar isterinya balik ke rumah.

“Dia ditembak di bahagian kepala dan dada dengan pistol 11 mm dan 9 mm,” kata Jiraded.

Beliau berkata, dalam kejadian itu peluru sesat turut terkena seorang wanita yang melintas ketika itu.

Mangsa dikenali sebagai Siti Aya Samahbeta, 45, dan seorang penolong ketua kampung.

Peluru terkena di bahagian kepala dan telinga mangsa. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/global/tiga-mati-tiga-cedera-dalam-dua-kejadian-1.200680