NARATHIWAT 28 Okt. – Tiga pegawai polis pasukan pemusnah bom maut ketika menjalankan tugas dalam satu lagi kejadian keganasan di selatan Thailand hari ini.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej Jen Polis Pattanavut Angkanawin berkata Sub Lt Polis Shem Waronkapaisit, 56, penolong Sub Lt Polis Charoon Megruang, 42 dan Sjn Mej Polis Nimit Deewong mati di tempat kejadian.

Mayat ketiga-tiga mereka terpelanting sejauh 40 meter dengan anggota badan serta kepala terputus dalam kejadian itu apabila bom buatan sendiri seberat 50kg yang diletakkan dalam tong gas memasak diletupkan menggunakan walkie talkie.

Sebelum itu, ketiga-tiga yang juga pegawai pasukan pemusnah bom Narathiwat bersama 10 anggota yang lain telah pergi ke Kampung Sompol, Mukim Gajah Mati, daerah Bachok, Narathiwat, untuk menyiasat laporan mengenai benda yang meragukan di tepi jalan raya pada 9.50 pagi.

Pattanavut berkata semasa ketiga-tiga pegawai polis itu turun dari kereta untuk menyiasat, bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan itu telah diletupkan.

Katanya kejadian itu menyebabkan pasukan polis kehilangan anggota berpengalaman kerana pasukan itu pernah mengalami kejadian yang serupa sebanyak enam kali sebelum ini dan Sub Lt Shem Waronkapaisit pernah cedera dalam kejadian letupan bom pada tahun 2009.

Sementara itu, sebutir lagi bom buatan sendiri seberat 50kg yang turut ditanam untuk menjadi perangkap maut kepada anggota keselamatan telah dapat dimusnahkan tetapi seorang anggota marin Thai cedera. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131028/lu_11/Tiga-anggota-polis-pemusnah-bom-maut-di-Narathiwat#ixzz2j14fJ7MJ
© Utusan Melayu (M) Bhd