Oleh:
Tarikh: December 12, 2013

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Thailand perlu menimbang untuk mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan bersifat pelbagai budaya untuk menangani pemberontakan bersenjata yang berlarutan sejak beberapa dekad lepas melibatkan umat Islam di selatan negara itu.

Bekas Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar Tan Sri Razali Ismail berkata, setelah melakukan pelbagai usaha, kerajaan Thailand masih gagal mendekati masyarakat Melayu-Islam yang menjadi penduduk majoriti Pattani serta wilayah berhampirannya.

Katanya, kegagalan itu kerana strategi mereka lebih bertumpu pada usaha mengasimilasikan masyarakat Melayu ke dalam budaya arus utama Thai-Buddha dan menurutnya asimilasi yang dipaksakan pihak berkuasa Thailand hanya mencetuskan pemberontakan bersenjata oleh masyarakat yang bimbang identiti dan cara hidup mereka akan terancam.

“Barangkali, sudah tiba masanya prospek untuk mengasimilasikan masyarakat Islam dilupakan sahaja dan sebaliknya mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan bersifat pelbagai budaya bagi membolehkan mereka mengekalkan identiti mereka, sambil melibatkan diri sepenuhnya dan menyumbang kepada kewujudan sebuah masyarakat Thailand yang lebih hebat,” katanya.

Razali berkata demikian dalam syarahan bertajuk ‘Integriti Politik: Kunci Bagi Kestabilan Serantau’ dalam edisi keempat Siri Syarahan Integriti anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

Beliau berkata menurut ahli sejarah Farish Noor, Pattani dan wilayah sekitarnya dibawa masuk ke dalam negeri Siam melalui penaklukan dan penguasaan, bukan secara diplomasi.

Awal tahun ini, Malaysia mengatur rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional dengan harapan untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

Setakat ini, rundingan antara pihak terlibat belum mencapai hasil yang diharapkan. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/global/perlu-pendekatan-baharu-tangani-konflik-thailand-1.230049