Daripada OPAT RATTANACHOT

SADAO, Selatan Thailand 23 Dis. – Suasana bandar sempadan Danok, dekat sini agak lengang berbanding hari-hari sebelumnya selepas digegarkan dengan kejadian letupan bom di empat lokasi semalam.

Tinjauan Utusan Online mendapati, suasana tidak meriah, jauh berbeza seperti sebelum ini yang sering menjadi tumpuan dalam kalangan rakyat Malaysia berhibur.

Selain itu, tidak banyak kenderaan Malaysia dikesan masuk melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, dekat Changloon.

Seorang peniaga, Decha Chaiyakit, 53, memberitahu, ramai dalam kalangan pelancong Malaysia mula meninggalkan bandar ini sejak petang semalam.

Katanya, keadaan tersebut mungkin disebabkan rasa takut dan tidak yakin dengan keadaan keselamatan di sini.

“Selepas kejadian semalam, saya dapati ramai pelancong mula meninggalkan bandar ini. Malah, keadaan trafik menjadi sesak sejauh hampir tiga kilometer sejak petang semalam,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kecil Samnukham, Kecha Benjakarn memberitahu, pihak berkuasa termasuk polis dan tentera kini mengawal rapi sekitar bandar Danok.

“Walaupun keadaan keselamatan dipertingkatkan namun premis perniagaan berdekatan lokasi letupan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau mengakui, kejadian yang berlaku semalam meninggalkan impak negatif terhadap sektor pelancongan dan pertumbuhan perniagaan kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Para peniaga khususnya pengusaha hotel memaklumkan kepada kita bahawa ramai pelancong telah membatalkan tempahan mereka pada saat-saat akhir,” katanya.

Bagaimanapun, Kecha berkata, pihaknya menjangkakan keadaan akan kembali pulih dalam tempoh seminggu lagi.

“Apa yang penting ialah kita harap rakyat Malaysia tidak perlu takut dan kembali selepas keadaan kembali pulih.

“Kita memberikan jaminan akan tingkatkan kawalan keselamatan malah akan melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap kenderaan yang mencurigakan,” jelasnya.

Kecha berkata, pihaknya juga bersyukur kerana tidak ada kes kematian dan juga mangsa melibatkan rakyat malaysia.

“Sebanyak 27 kes cedera dilaporkan dengan kebanyakannya peniaga. Daripada jumlah ini, 25 dirawat di Hospital Sadao manakala dua lagi yang cedera parah dirawat di Hospital Hatyai,” katanya.

Semalam, sebanyak 24 orang dilaporkan cedera dalam salah satu daripada empat kejadian letupan bom yang menggegarkan bandar sempadan Danok dan Padang Besar dekat sini.

Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden letupan di kedua-dua bandar kecil yang popular dengan pelancong itu. – UTUSAN ONLINE