BANGKOK 20 Jan. – Insiden keganasan yang dikaitkan dengan protes anti-kerajaan di Thailand setakat ini mengakibatkan sembilan nyawa terkorban dan hampir 600 orang cedera.

Namun, seramai 22 mangsa yang cedera masih berada di hospital, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Perangkaan itu dikumpul sejak tercetusnya pertempuran di sekitar Universiti Ramkhumhaeng antara kumpulan yang menentang pemprotes anti-kerajaan dengan kumpulan Baju Merah (pro-Thaksin Shinawatra) pada 30 Nov hingga semalam.

Terbaharu, kemalangan jiwa terkini yang berlaku semalam apabila seorang daripada mangsa serangan bom tangan semasa perarakan pemprotes di Banthad Thond Jumaat lalu meninggal dunia akibat kecederaan.

Situasi yang begitu serius mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa negara dengan Kuwait dan Oman menasihatkan warga mereka meninggalkan Thailand.

Semalam, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Thanasak Patimaprakorn, merayu kepada kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian dan sedia berkorban demi kepentingan negara, tetapi mengakui kesukaran mendapatkan orang tengah yang sedia diterima oleh kedua-dua pihak. – Bernama