Bangkok: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah masjid di kawasan bergolak selatan Thailand semalam menyebabkan seorang terbunuh dan mencederakan seorang lagi, sehari selepas umat Islam mula melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan, kata polis.

Serangan oleh suspek yang disyaki militan Wilayah Pattani pada awal pagi itu dikatakan mensasarkan Timbalan Ketua Kampung Islam namun sebaliknya menyebabkan seorang lelaki berusia 66 tahun terbunuh sebaik selesai menunaikan solat Subuh, kata Leftenan Kolonel Polis, Somchai Janyoung.
“Lelaki itu mati di hospital selepas terkena dua das tembakan di masjid, dia adalah bapa kepada imam masjid berkenaan. Timbalan ketua kampung berjaya menyelamatkan diri dan hanya luka ringan di kaki,” kata Somchai.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan berapa ramai lelaki bersenjata yang berada di tempat kejadian ketika itu.

Tiga wilayah di selatan Thailand yang majoriti dihuni orang Islam dibelenggu pemberontakan sejak lebih sedekad lalu yang mengakibatkan lebih 6,000 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.

Kumpulan pemberontak yang memperjuangkan hak autonomi, menuduh pihak berkuasa Thailand sewenang-wenangnya mengenepikan budaya mereka yang berbeza dan melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Militan sering menggunakan rungutan begini untuk mensasarkan pembunuhan di kalangan wakil Buddha dan Islam kerajaan Thailand, termasuk guru, pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan.
Bulan Ramadan adalah bulan ibadat puasa bagi sejumlah 1.6 bilion umat Islam di dunia, dan pada bulan inilah Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. – AFP
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakimatiditembakselepassolatsubuh/Article/index_html