KOTA BHARU 29 Dis. – Kerajaan Thailand hari ini menyumbangkan pelbagai sumbangan dalam bentuk beras, makanan dalam tin, air mineral, buah-buahan dan lilin yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM20,000.

Sumbangan disampaikan Gabenor Wilayah Narrathiwat, Natthapong Sirichan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di pekarangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan di sini.

Ahmad yang ditemui berkata, sumbangan kerajaan Thailand itu membuktikan hubungan baik antara kedua-dua negara yang terjalin erat sebelum ini.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand yang sangat prihatin terhadap nasib mangsa banjir di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebahagiannya akan dihantar ke Tumpat di mana lebih 4,000 masyarakat Siam di jajahan itu turut terjejas.

Sementara itu, Ahmad berkata, mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan wang boleh berbuat demikian pada Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan melalui Bank Islam di akaun 03018010080024. – Bernama

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/banjir-thailand-sumbang-makanan-1.42363#sthash.AAgC4imA.dpuf