PATTANI 9 Jan. – Tiga orang lelaki dipercayai anggota kumpulan pemisah terbunuh hari ini dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera di sebuah rumah di daerah Mayo, wilayah Pattani, selatan negara ini.

Kejadian berlaku selepas sepasukan anggota tentera mengepung sebuah rumah yang dipercayai didiami oleh anggota kumpulan tersebut, awal pagi ini.

“Tentera cuba berunding dengan anggota kumpulan itu untuk meminta mereka menyerah diri, namun gagal,” kata pegawai polis dari daerah Mayo yang enggan mendedahkan namanya.

Selepas rundingan dijalankan kira-kira 12 jam, dan anggota kumpulan pemisah enggan menyerah diri, insiden berbalas tembakan mula tercetus sebelum tentera menyerbu masuk ke rumah tersebut.

“Tiga orang anggota kumpulan pemisah terbunuh, manakala dua yang lain sempat melarikan diri,” katanya sambil menambah beberapa laras senapang telah ditinggalkan oleh suspek.

Badan pemantau Deep South Watch menyatakan, seramai 6,300 penduduk kebanyakannya orang awam terkorban sejak konflik yang berlaku 11 tahun lalu, terutamanya di Pattani, Narathiwat, dan Yala. – AFP

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/3-maut-insiden-tembakan-di-pattani-1.46264#sthash.1bTEQrH9.dpuf