PATTANI – THAILAND. Empat lelaki disyaki anggota gerakan pemisah di selatan Thailand maut dan 22 suspek anggota pemisah ditahan dalam pertempuran di Pattani petang semalam, menurut Ketua Polis Daerah Tung-yang-deang, Kolonel Polis Kovit Wattanchotuk.

Beliau berkata, mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Suhaimee Sengleak, 32, Khalid Samen, 24, Saddam Wanu, 24, dan Madaree Merah, 23.

Katanya dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, sebanyak 100 anggota pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera mengepung sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Tokcud Mukim Piten, daerah Tung-yang-deang, Pattani.

Operasi tersebut dilakukan selepas pihak keselamatan mendapat maklumat perisikan terdapat lebih 20 lelaki sedang mengadakan perjumpaan dalam rumah tersebut, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kumpulan lelaki yang berada dalam rumah tersebut telah menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan dan cuba melarikan diri ke kawasan bukit di belakang rumah sambil melepaskan tembakan.

Berikutan itu katanya anggota keselamatan melepaskan tembakan balas selain mengarahkan kumpulan pemisah menyerah diri tetapi tidak diendahkan.

Pertempuran sengit berlaku kira-kira 30 minit dan selepas keadaan reda, hasil pemeriksaan mendapati empat suspek pemisah maut dan beberapa laras senjata api dan bom tangan dijumpai berdekatan mayat mereka, kata Kovit.

Dalam operasi itu, katanya pihak keselamatan turut menahan 22 suspek yang disyaki terlibat dengan kumpulan gerakan pemisah bagi membantu siasatan dan mereka dibawa ke pusat tahanan tentera Task Force 25 Pattani.

Polis percaya pertemuan anggota kumpulan pemisah itu bertujuan merancang serangan di daerah Tung-Yang-Deang, katanya. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/global/empat-disyaki-anggota-pemisah-maut-di-pattani-1.373021