BANGKOK: Letupan bom di Kuil Erawan di kawasan sibuk di pusat bandar raya ini petang semalam yang mengorbankan 22 orang termasuk lapan warga asing dan mencederakan 123 yang lain, bertujuan merosakkan ekonomi negara itu, kata pegawai kerajaan. Jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri, berkata antara warga asing yang terkorban dalam serangan itu ialah China (tiga), Hong Kong (dua), Malaysia (dua) dan seorang warga Filipina. Dalam pada itu, dengan tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dan kerajaan tidak dapat mengaitkannya dengan kegiatan pemisah di selatan, serangan itu setakat ini dikatakan bertujuan memusnahkan ekonomi dan pelancongan. “Penyerang bertujuan memusnahkan ekonomi Thailand dan pelancongan kerana serangan berlaku di tengah-tengah daerah pelancongan,” kata Menteri Pertahanan, Prawit Wongsuwan. Pelancongan adalah antara penyumbang utama ekonomi Thailand yang terjejas selepas tentera merampas kuasa pada Mei 2014. Pelancongan menyumbang 10 peratus kepada ekonomi dan kerajaan mengunjurkan pemulihan kedatangan pelancong tahun ini. Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmuang, berkata serangan bom itu belum pernah berlaku di negara itu kerana letupan itu tercetus daripada bom paip. Kuil Erawan yang terletak di kawasan sibuk berdekatan hotel terkemuka, pusat beli-belah, pejabat dan hospital adalah tarikan utama dalam kalangan pelancong dari Asia Timur termasuk China. Ramai warga tempatan juga mengunjungi rumah ibadat berkenaan. Kerajaan akan menubuhkan ‘war room’ untuk menyelaras operasi berikutan letupan itu, kata Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha dipetik menerusi siaran televisyen. Sementara itu, di Washington, Jabatan Negara berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan letupan itu adalah serangan pengganas. Jurucakapnya, pihak berkuasa Thailand setakat ini belum minta bantuan Amerika Syarikat (AS). – Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/75550