Bangkok: Perunding Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol yang mengetuai rundingan dengan kumpulan pemisah selatan negara itu akan bertolak ke Kuala Lumpur hari ini bagi membincangkan pusingan rundingan damai akan datang.

Aksara berkata, di Kuala Lumpur beliau akan bertemu wakil kumpulan pemisah Mara Patani dan wakil kerajaan Malaysia, Ahmad Zamzamin bin Hashim.

Ahmad Zamzamin menjadi orang tengah dalam perbincangan itu bagi membincangkan skop rundingan akan datang.

Mara Patani adalah gabungan enam kumpulan pemisah di selatan Thai yang merancang untuk mengadakan rundingan dengan Bangkok.

Kata Aksara, Mara Patani akan membuat satu sidang akhbar dengan media Thai dan Malaysia pada Khamis ini bagi memperkenankan diri dan memberitahu pendirian mereka dalam rundingan dengan Bangkok.

“Kumpulan ini mahu mempromosikan organisasi mereka melalui media untuk mendapatkan sokongan.

“Kumpulan pemisah ini menamakan semula organisasi mereka untuk membuang imej keganasan yang lama kerana yakin Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha jujur,” katanya.

Tambahnya, rundingan itu akan bermula dengan
mewujudkan zon selamat di kawasan sempadan di tiga wilayah di selatan Thai berkenaan.

Zon selamat adalah satu kawasan yang bebas dengan sebarang aktiviti keganasan tanpa menggunakan sebarang undang-undang penguatkuasaan khas. – Agensi

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72782#sthash.3up1oGKe.dpuf