BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan politik di dalam negara sebagai motif di sebalik serangan bom di Bangkok pertengahan bulan lepas, sungguhpun tindakan tegas terhadap kegiatan pemerdagangan manusia juga mungkin menjadi motif.
Seorang daripada suspek yang masih bebas, Yongyuth Pobkaew, dipercayai terbabit dalam serangan bom bermotifkan politik pada 2010 dan 2014, kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Pumpanmuang.
“Kami tidak memerangkap sesiapa memandangkan kami mempunyai bukti ke arah itu dan fakta yang diperoleh para pegawai penyiasat,” kata Somyot dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan siasatan mendapati bukti yang mengaitkan Yongyuth kepada serangan bom berhampiran kuil Erawan dan Jeti Sathorn di Bangkok bulan lepas.
Yongyuth mempunyai kaitan dengan serangan bom pada Ogos dan dua lagi serangan bom semasa politik Thailand dilanda konflik besar-besaran, di daerah Minburi di Bangkok pada 2014, dan di Samanmeta, wilayah Nonthaburi pada 2010, kata Somyot.
Siasatan lanjut, katanya, diperlukan untuk mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan politik di dalam negara.
“Itulah sebabnya saya katakan kes ini adalah kes dua kumpulan yang mempunyai matlamat sama. Satu kumpulan boleh menggunakan kumpulan yang lain, dan selepas itu mereka sama-sama mendapat manfaatnya,” katanya.
Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa serangan bom itu mempunyai kaitan dengan politik Thailand dan tindakan tegas pihak berkuasa Thailand ke atas kegiatan penyeludupan manusia, namun motif yang sering dinyatakan adalah penghantaran pulang puak Uighur ke China awal tahun ini. Sementara itu, jurucakap polis Thailand Lt Jeneral Polis Prawuth Thavornsiri berkata dalam serangan kali ini, Yongyuth bertanggungjawab dalam menyediakan sokongan dan bahan untuk membuat bom.
Terdapat 15 suspek yang masih bebas, terdiri daripada 13 warga asing dan dua warga Thailand. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/85085