Isu selatan Thai, Malaysia laksana peranan baik

18 Januari 2016 12:24 AM
Abu Hafiz al-HakimAbu Hafiz al-Hakim

BANGKOK 17 Jan. – Tidak ada ke­perluan untuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi fasilitator dalam rundingan damai selatan Thai kerana peranan itu telah pun dimainkan dengan baik oleh Malaysia, menurut kumpulan Mara Pattani yang terlibat dalam rundingan dengan kerajaan Thailand itu.

Jurucakap kumpulan Mara Pattani, Dr Abu Hafiz al-Hakim (gambar) berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai itu dengan baik dan berkecuali.

“Malaysia melaksanakan pe­ranan dengan baik, tidak boleh ada dua fasilitator atau dua pengadil dalam satu perlawanan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mara Pattani merupakan orga­nisasi yang menjadi payung kepada enam kumpulan pemisah di selatan Thai dan bertindak sebagai suara tunggal puak pemisah dalam run­dingan dengan kerajaan Thailand.

Dr. Abu Hafiz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani di Bangkok baru-baru ini tentang keinginan badan yang dianggotai oleh 57 negara Islam itu untuk terlibat sama dalam rundingan berkenaan.

Setiausaha Agung OIC itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-O-cha dan Menteri Luarnya, Don Pramudwinnai.

Beliau melawat Thailand, yang merupakan negara pemerhati dalam OIC selepas mengunjungi Malaysia sebelum itu.

Dalam pertemuannya dengan media di Bangkok, Iyad Madani menyatakan harapannya agar OIC dapat memainkan peranan sebagai fasilitator dalam usaha membina keyakinan antara kedua-dua pihak yang bertelagah di selatan Thai itu.

Abu Hafiz yang turut terlibat sama dalam rundingan damai mewakili Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP) itu berkata, mereka juga tidak menyentuh peranan OIC dalam pertemuan mereka dengan Madani di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan Malaysia tidak mempunyai sebarang peranan dalam pertemuan antara Mara Pattani dengan setiausaha agung OIC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pertemuan itu diatur oleh individu-individu tertentu tanpa ada sebarang peranan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Abu Hafiz juga berkata apa yang diperlukan ketika ini adalah sokongan kuat daripada OIC terhadap rundingan damai terbabit yang masih lagi berada di peringkat awal.

Menurutnya, penglibatan pihak-pihak lain dalam rundingan termasuk OIC boleh dipertimbangkan hanya dengan persetujuan kerajaan Thailand terlebih dahulu, apabila rundingan mencapai tahap rasmi dan menyentuh isu-isu kritikal.

“Pada ketika ini, rundingan antara kedua-dua pihak masih berada di tahap tidak rasmi dan di peringkat berbincang tentang terma-terma rujukan rundingan. Kita masih tidak menyentuh tentang isu-isu yang kritikal,” katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini pihaknya masih menunggu reaksi balas kerajaan Thailand tentang isu terma-terma rujukan rundingan damai itu sebelum menyambung semula rundingan.

Abu Hafiz menjangkakan kedua-dua pihak akan bertemu semula pada akhir Januari ini atau awal Februari untuk menyambung se­mula rundingan damai itu. – BERNAMA

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/isu-selatan-thai-malaysia-laksana-peranan-baik-1.180681#sthash.6giMcyZT.dpuf

Related Posts

Bahasa Melayu

5 Tentera penjajah Thai maut dan 4 cedera parah di Pattani

Bahasa Melayu

Polis Thai maut di Narathiwat

Bahasa Melayu

Empat maut dalam tiga kejadian tembakan berasingan di Thailand

Bahasa Melayu

Dua Bom meletup di Takbai,Narathiwat

Bahasa Melayu

PULA menyerang tentera Thai di Yala