Najib tiba di Istanbul hadiri Sidang Kemuncak OIC

Najib tiba di Istanbul hadiri Sidang Kemuncak OIC

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut oleh Menteri Pembangunan Turki, Cevdet Yilmaz sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Rabu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke 13. – Foto Bernama

ISTANBUL – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Rabu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13.

Beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen pada pukul 7.45 pagi waktu tempatan (12.45 tengah hari waktu Malaysia).

Ketibaan Najib dan Rosmah turut disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zin.

Perdana menteri akan menyampaikan ucapan pada Khamis (14 April) dan berkongsi pendirian Malaysia mengenai isu yang dibentangkan dalam agenda mesyuarat.

Sidang Kemuncak OIC diadakan setiap tiga tahun sekali yang didahului dengan mesyuarat persediaan Majlis Menteri-Menteri Luar dari 12 hingga 13 April dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan dari 10 hingga 11 April.

Sebagai sebuah negara anggota pengasas OIC, penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak ini membuktikan komitmen kuat negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam pertubuhan tersebut dan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan ummah.

Sidang kemuncak berkenaan dijangka turut menggaris langkah dalam dokumen yang dihasilkan bagi dilaksana oleh negara anggota.

Di luar sidang itu, Najib akan turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad dan syarikat tenaga Turki, Gama Enerji berhubung kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang pembekalan elektrik di Turki.

Perdana menteri turut dijadual melancar ruang penumpang dan projek pelebaran dewan masuk baharu lapangan terbang Sabiha Gokcen.

Lapangan terbang tersebut dimiliki sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). – Bernama

Related Posts

Bahasa Melayu

14 termasuk kanak-kanak cedera serangan bom di Sg Golok

Bahasa Melayu

Bom di Narathiwat 10 tentera penjajah Thai cedera

Bahasa Melayu

5 Tentera penjajah Thai maut dan 4 cedera parah di Pattani

Bahasa Melayu

Polis Thai maut di Narathiwat

Bahasa Melayu

Empat maut dalam tiga kejadian tembakan berasingan di Thailand