Thailand

BANGKOK – Kawalan keselamatan di kawasan tarikan pelancong di Hatyai, selatan Thailand, telah ditingkatkan berikutan laporan risikan yang menyatakan kemungkinan berlaku serangan militan pada hujung minggu ini.

Menurut laporan berita versi dalam talian Bangkok Post malam tadi, pasukan keselamatan termasuk unit pemusnah bom melakukan rondaan 24 jam di bandar itu yang sering dikunjungi pelancong Malaysia, bagi menggagalkan sebarang serangan.

“Mereka (pasukan keselamatan) akan mengesan sebarang kenderaan yang diletakkan dalam keadaan yang mencurigakan, menggunakan peralatan bagi memutuskan sebarang isyarat telefon bimbit serta memeriksa kemungkinan pemasangan bahan letupan,” katanya.

Laporan risikan daripada Pusat Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) di Pattani memberi amaran kumpulan militan berkemungkinan merancang serangan bom di Hatyai semalam dan hari ini.

Pengawasan oleh pasukan keselamatan Thai itu tertumpu kepada kawasan komersial Hatyai termasuk pasar Kim Yong, Saneha Nusorn Road dan Niphat Uthit 3 Road, tambah akhbar itu.

Peningkatan rondaan di bandar itu adalah berikutan amaran daripada laporan risikan yang mendakwa kumpulan militan yang diketuai Seri Waemamu, yang aktif di kawasan Nong Chik, Pattani, Thepa dan Chana di Songkla, sedang merancang serangan.

Hatyai menjadi sasaran serangan bom yang mengakibatkan kematian pada September 2006, Mei 2007 dan Mei 2014. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/global/thailand-tingkatkan-kawalan-keselamatan-hat-yai-1.513084