Dua maut, 13 cedera dalam insiden keganasan terbaharu di Narathiwat, YalaSkuad pemusnah bom memeriksa bangkai kereta pegawai peronda sukarela yang musnah akibat dibom militan berhaluan kiri di daerah Takbai, selatan Narathiwat, Thailand dalam kejadian pada 21 April lalu. Tembakan dan letupan sering terjadi di daerah ini hampir setiap hari di mana 6,500 orang majoritinya penduduk awam terkorban sejak kebangkitan kumpulan pemberontak pada 2004. Gambar AFP/MADAREE TOHLALA

NARATHIWAT 25 April- Dua orang mati ditembak di Yala pagi ini manakala 13 orang awam dan polis cedera dalam dua kejadian bom motosikal di bandar Narathiwat, selatan Thailand, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 11 pagi di Muang, Yala, dua peniaga kayu getah dikenali sebagai Hamdi Talubo, 35, dan Yunu Late, 30, ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata yang mengekori kenderaan mereka.

Dua bom motosikal pula, yang masing-masing diletakkan di Lorong Lamai Uthi dan di hadapan Balai Polis Muang, meletup selang satu minit pada pukul 12.18 tengah hari tadi, kata Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pattanawut Angkanawin.

“Daripada 13 yang cedera, lima daripadanya adalah anggota polis dan seorang kanak-kanak perempuan. Empat rumah serta dua kereta turut mengalami kerosakan akibat letupan itu,” katanya kepada pemberita hari ini. – BERNAMA

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/2-maut-13-cedera-dalam-insiden-keganasan-terbaharu-di-narathiwat-1.